twitter
rss

KUALA LUMPUR: Kesan pengambilan berlebihan pil Ecstasy yang dipercayai mengandungi racun tikus, boleh menyebabkan penggunanya koma selain berisiko menghadapi kematian hanya dalam tempoh 20 jam selepas mengambilnya.



Penagih dadah jenis itu juga terdedah kepada risiko kematian berikutan pendarahan berterusan di beberapa organ penting dalam tubuh terutama pada otak.

Ketua Koordinator dan Klinikal Pusat Kecemasan dan Trauma, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Abdul Ali Raja Mohamed, berkata antara kesan lain yang bakal menimpa pengguna ialah batuk berdarah, rosak paru-paru dan muntah.

Selain itu, katanya, ia juga kesan boleh menyebabkan seseorang mengalami kencing berdarah berikutan kerosakan pada buah pinggang serta bagi yang mengalami luka ringan pada tubuh akan meninggalkan darah dalam kulit.

“Racun tikus perlu dihuraikan dengan lebih teliti menerusi jenis dan jenamanya, tetapi kesan mudarat itu akibat umum kepada mereka yang mengambil bahan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk pil psikotripik berbentuk tiga segi berwarna kuning dan biru dipercayai Ecstasy yang mengandungi racun tikus melalui serbuan di beberapa pusat hiburan sekitar ibu kota, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata pil itu pertama kali ditemui dipercayai dihasilkan di negara ini menggunakan campuran dadah jenis ketamin, kafien serta racun tikus.

Katanya, polis sudah menghantar pil berkenaan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengetahui kandungan serta kesan sampingan pengambilannya.

Sementara itu, sumber di Jabatan Kimia ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan sudah menerima sampel pil berkenaan untuk dianalisis tetapi hasil siasatan bagi mengetahui keputusannya tidak boleh didedahkan.

“Analisis itu membabitkan kami dan polis saja. Namun, secara rambang, kesan sampingan terhadap pengambilan pil Ecstasy antaranya boleh menyebabkan manusia mengalami rencatan otak, kerosakan buah pinggang dan masalah pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, semua jenis pil Ecstacy sama ada mengandungi racun tikus atau tidak memang mendatangkan kemudaratan kepada penggunanya.   

SUMBER: http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Nasional/20070131094257/Article/

0 comments:

Post a Comment